Assala'mualaikum Wr,Wb....??!
| yang artinya.....: |
SEBAHAGIAN
PARA HAMBA DITENTUKAN OLEH ALLAH S.W.T UNTUK BERKHIDMAT KEPADA-NYA DAN
ADA PULA SEBAHAGIAN YANG DIISTIMEWAKAN ALLAH S.W.T DENGAN MENCINTAI-NYA.
KEPADA MASING-MASING ITU DIBERIKAN BANTUAN DARI KURNIAAN TUHAN DAN
KURNIAAN TUHAN ITU TIDAK TERBATAS.
Para hamba Allah s.w.t yang sampai kepada penghujung perjalanan mereka dikurniakan Allah s.w.t menetap dengan salah satu dari dua hal, iaitu sama ada berkhidmat kepada Allah s.w.t atau fana dalam mencintai-Nya. Para hamba yang ditentukan untuk berkhidmat kepada Allah s.w.t terdiri dari dua golongan. Golongan pertama adalah ahli akhirat yang mencapai makam Mukmin dan golongan kedua adalah ahli Allah s.w.t yang diserapkan oleh hal abid dan zahid. Para Mukmin adalah tentera Allah s.w.t yang berjuang menegakkan syariat Allah s.w.t dengan bersenjatakan sabar. Mereka tidak berhenti-henti berjihad pada jalan Allah s.w.t, menegakkan syariat-Nya dan memerangi hawa nafsu. Ahli jihad tersebut tidak takut mati kerana mereka melihat kematian dalam jihad adalah mati syahid dan darahnya digantikan dengan syurga yang maha indah. Para Mukmin, ahli jihad yang teguh dalam kesabaran adalah para hamba yang didekatkan.
Para abid dan zahid pula
adalah hamba-hamba yang telah melepasi makam sabar dan masuk kepada
makam reda lalu menjadi hamba-hamba pilihan dan dimuliakan. Makam abid
dan zahid sangat mulia di sisi Allah s.w.t kerana mereka tidak membuat
sebarang pekerjaan kecuali beribadat kepada Allah s.w.t, mentaati
sekalian perintah-Nya dengan keikhlasan sejati tanpa mengharapkan
sebarang balasan. Mereka tidak melihat kepada amal perbuatan mereka
tetapi melihat ibadat itu sebagai kurniaan dari Allah s.w.t yang sangat
berharga. Semakin banyak amal ibadat yang terdaya mereka lakukan semakin
kuatlah kesyukuran mereka. Hati mereka tidak lagi diganggu oleh tarikan
dunia dan rangsangan syahwat. Jika para Mukmin biasa diibaratkan
sebagai orang yang menanam pokok kerana mengetahui pokok tersebut akan
mengeluarkan buah yang lazat rasanya, Mukmin yang abid dan zahid pula
diibaratkan sebagai orang yang membaja dan menyiram pokok tersebut
supaya ia bertambah subur.
Ada pula, dari kalangan
Mukmin, Allah s.w.t tentukan untuk mencintai-Nya. Cinta Allah adalah
sesuatu yang sangat sulit untuk dihuraikan. Terlalu sedikit para hamba
yang dipilih untuk memilikinya. Golongan yang sedikit itu adalah anbia
dan aulia Allah s.w.t yang agung. Jika mahu memahami maksud Cinta Allah,
selamilah ucapan mereka yang sedang asyik dalam kecintaan tersebut.
Pencinta Allah s.w.t yang paling agung, Nabi Muhammad s.a.w mengucapkan:
“Sekiranya diletakkan matahari pada tangan kananku dan bulan pada tangan kiriku dengan menyuruh aku menghentikan dakwah yang aku lakukan, nescaya tidak akan aku berhenti, melainkan Allah s.w.t membinasakan daku atau memenangkan daku!”
“Sekiranya diletakkan matahari pada tangan kananku dan bulan pada tangan kiriku dengan menyuruh aku menghentikan dakwah yang aku lakukan, nescaya tidak akan aku berhenti, melainkan Allah s.w.t membinasakan daku atau memenangkan daku!”
“Tidak aku hiraukan walaupun sekalian makhluk-Mu memusuhi daku asalkan Engkau tidak murka kepadaku”.
Imbasan Cinta Allah s.w.t
hanya dapat dilihat daripada sabda Rasulullah s.a.w dan dari kalangan
umat baginda yang dipilih mewarisi Cinta tersebut. Abu Bakar as-Syubli
membawa puntung kayu api kerana dia mahu membakar syurga dan kaabah agar
Allah s.w.t dicintai dengan sebenar-benarnya, bukan kerana syurga, dan
agar manusia benar-benar menghadap Allah s.w.t bukan terhenti pada
kaabah. Abu Yazid al-Bustami menasihatkan, “Jika kebajikan yang
dikurniakan kepada Adam, kesucian malaikat Jibrail, kemuliaan Ibrahim,
rindu dendam Musa dan Cinta Muhammad s.a.w, dikurniakan kepada kamu,
janganlah kamu menyukainya kerana itu semua adalah hijab. Carilah Dia
dari Dia sahaja, maka yang lain itu semuanya kamu punya”.
Cinta Allah s.w.t adalah
pengalaman kerohanian yang sangat seni dan aneh. Para hamba yang
dikurniakan pengalaman tersebut telah terlebih dahulu melatihkan diri
berpuluh-puluh tahun lamanya. Mereka berjuang tanpa henti-henti
menentang hawa nafsu dan cita-cita yang berkaitan dengan dunia dan
akhirat. Mereka mencarinya dalam ketaatan dan sopan santun terhadap
Allah s.w.t. Orang yang mencintai Allah s.w.t ghaib dalam melihat Allah
s.w.t hinggakan tidak sedar lagi terhadap apa sahaja yang selain Allah
s.w.t. Fana dia dari dirinya dan sekalian alam maujud. Dia tidak dapat
membezakan antara sakit dengan senang, emas dengan tanah kering. Orang
yang dikuasai oleh Cinta Allah s.w.t tidak berasa apa-apa walaupun
kepalanya dipancung. Abu Mansur al-Hallaj tersenyum dan ketawa bila dia
disalib. Kemudian kaki dan tangannya dipotong, matanya dicungkil,
lidahnya dikerat dan akhirnya kepalanya dipancung. Cinta Allah s.w.t
yang menguasainya menghilangkan ketakutan dan kesakitan. Bila kakinya
dipotong dia menyaksikan kaki rohnya bebas berjalan menuju Tuhannya.
Bila tangannya dipotong dia menyaksikan tangan rohnya bebas mencapai
Tuhannya. Bila matanya dicungkil dia menyaksikan mata rohnya lebih
terang memandang kepada Tuhannya. Bila lidahnya dikerat dia menyaksikan
lidah rohnya semakin petah berkata-kata dengan Tuhannya. Bila kepalanya
dipancung dia merdeka sepenuhnya untuk ‘bersanding’ dengan Tuhannya.
Jika diselami benar-benar
akan didapati bahawa Cinta Allah s.w.t sebenarnya tidak dimiliki oleh
sesiapa pun tetapi Cinta Allah s.w.t itulah yang menawan hati seseorang.
Cinta Allah s.w.t itu menguasai bukan dikuasai. Cinta Allah s.w.t
menarik seseorang ke dalam kefanaan dari dirinya dan segala-galanya lalu
masuk ke dalam tauhid hakiki. Syarat bagi seseorang untuk layak
menanggung Cinta Allah s.w.t adalah seandainya semua harta yang ada di
dalam perut bumi dikeluarkan dan diberikan kepadanya, dia menolak demi
Wajah Allah s.w.t. Hati yang sanggup berbuat demikian layak menerima
Cinta Allah s.w.t. Orang yang benar-benar mabuk dalam percintaan tidak
ingat akan harta dan dunia.
Golongan pencinta Allah
s.w.t adalah tetamu Allah s.w.t yang dimuliakan. Mereka dihidangkan
dengan berbagai-bagai hidangan yang tidak pernah dinikmati oleh golongan
lain. Merekalah yang merasai buah dari pokok yang ditanam oleh golongan
Mukmin dan dijaga oleh golongan abid dan zahid. Daya rasa mereka tidak
lagi serupa dengan daya rasa manusia biasa.
Asma binti Abu Bakar
as-Siddik tatkala tuanya, mengalami satu peristiwa yang luar biasa.
Anaknya, Abdullah, telah dituduh sebagai pemberontak oleh pemerintah
pada ketika itu. Abdullah dijatuhkan hukuman bunuh. Mayatnya diheret
dari lorong ke lorong selama beberapa hari, dan mayat itu menjadi busuk.
Apabila mayat itu diheret di hadapan rumah Asma, yang pada ketika itu
sudah tidak boleh melihat, tercium bau yang sangat harum. Asma
bertanyakan mayat siapakah yang berbau harum itu. Dia diberitahu yang
mayat itu adalah mayat puteranya. Asma mengucapkan syukur kepada Allah
s.w.t kerana menjadikannya ibu kepada seorang pemuda yang salih.
Para pencinta Allah s.w.t
adalah aneh. Mereka bukan lagi dalam kesedaran manusia dan bukan juga
dalam kesedaran malaikat. Mereka bukan lagi penghuni dunia dan bukan
juga penghuni langit. Mereka adalah tetamu Rumah Allah s.w.t yang tidak
ada apa di dalamnya kecuali Allah s.w.t.

Tidak ada komentar:
Posting Komentar